Kes Jalur Gemilang: Premis tutup 30 hari tidak zalim, ikut undang-undang

Laporan Sinar Harian berhubung klinik gigi kibarkan Jalur Gemilang terbalik diarah tutup 30 hari. (Gambar kecil: Mohd Jafni)
Laporan Sinar Harian berhubung klinik gigi kibarkan Jalur Gemilang terbalik diarah tutup 30 hari. (Gambar kecil: Mohd Jafni)
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor menegaskan arahan penutupan premis di Pontian selama 30 hari akibat kesalahan mengibarkan Jalur Gemilang atau Bendera Johor secara terbalik bukanlah tindakan kejam, sebaliknya langkah undang-undang yang sah serta menjadi amaran keras kepada semua pihak.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) itu selari dengan peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) 45(1) Pengibaran Bendera serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019.

“Kerajaan negeri Johor memandang serius dua insiden pemasangan bendera secara terbalik di Johor baru-baru ini.

“Bagaimanapun, ini bukan soal ‘ultra vires’ atau tindakan zalim tetapi ia berpaksikan undang-undang dan mesej jelas agar semua pihak tidak cuai atau mengambil sikap sambil lewa apabila menyentuh perkara berkaitan kedaulatan dan maruah negeri serta negara.

“Selepas 68 tahun merdeka, alasan kecuaian yang sama tidak seharusnya terus berulang kerana kesilapan ini bukan perkara kecil, malah merupakan parah hebat terhadap kedaulatan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.

Tambah beliau, menghormati Jalur Gemilang dan bendera Johor bukan pilihan tetapi kewajipan.

Katanya, bendera bukan sekadar kain yang berkibar di atas tiang, malah rakyat Johor tanpa mengira kaum dan latar belakang wajib menghormati bendera kerana ia simbol kedaulatan, maruah dan kesetiaan.

“Hormat kepada bendera bermakna hormat kepada negeri dan negara itu sendiri. Justeru, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memelihara lambang ini.

“Alasan kecuaian pekerja adalah tidak wajar kerana majikan warganegara perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesalahan dan kesilapan yang berlaku di premis masing-masing,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Jafni, sekiranya kes ini berpanjangan, ketegasan undang-undang amat penting bagi menutup ruang alasan remeh-temeh yang boleh mencemarkan maruah bendera.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya kesalahan sama berulang, malah tindakan lebih keras akan diambil bagi memastikan semua pihak benar-benar menghormati lambang negara serta negeri.

“Oleh itu, arahan penutupan premis yang dikeluarkan adalah selari dengan peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) 49 Kuasa Menutup Premis setelah pengesahan terhadap pelanggaran peruntukan yang dilakukan oleh premis berkenaan.

“Ia kekal sebagaimana UUK 45(1) Pengibaran Bendera serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019. Ini bermakna tindakan berkenaan mempunyai asas undang-undang kukuh dan bukan keputusan sewenang-wenangnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!