7 stesen bas TransJakarta dibakar, operasi digantung

JAKARTA – Perkhidmatan bas rapid transit TransJakarta digantung sepenuhnya pada Sabtu selepas tujuh stesen rosak teruk dan sebahagiannya dibakar susulan demonstrasi ganas yang melanda ibu kota sejak awal minggu.
Jurucakap TransJakarta, Ayu Wardhani berkata, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan memandangkan infrastruktur pengangkutan awam mengalami kerosakan besar.
“Sehingga pagi ini (Sabtu), semua perkhidmatan TransJakarta masih ditangguhkan.
"Kami terus memantau keadaan demi memastikan keselamatan laluan dan fasiliti,” katanya.
Antara stesen yang rosak teruk akibat dibakar penunjuk perasaan ialah Bundaran Senayan dan Pemuda Pramuka di pusat Jakarta, sekali gus menjejaskan ribuan pengguna harian yang terpaksa mencari alternatif pengangkutan lain.
Tujuh stesen yang dilaporkan terjejas termasuk Polda Metro Jaya, Senen Toyota Rangga, Sentral Senen, Senayan BDKI, Gerbang Pemuda, Bundaran Senayan dan Pemuda Pramuka. Kesemua lokasi itu merupakan kawasan dengan trafik tinggi, menyebabkan gangguan perjalanan lebih parah.
Wardhani menyeru masyarakat agar bersama-sama menjaga kemudahan awam.
“Pengangkutan awam adalah milik kita bersama dan digunakan jutaan orang setiap hari.
"Kami merayu masyarakat agar melindungi fasiliti awam supaya terus memberi manfaat kepada semua,” katanya.
TransJakarta kebiasaannya membawa lebih sejuta penumpang setiap hari, menjadikannya antara nadi utama pergerakan warga Jakarta.
Protes besar-besaran yang bermula Isnin lalu di sekitar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat tercetus susulan pendedahan mengenai elaun lumayan wakil rakyat.
Ketegangan memuncak pada Khamis selepas seorang penunggang ojek, Affan Kurniawan, 21, maut digilis kenderaan taktikal polis ketika cuba menyuraikan tunjuk perasaan.
Kekecohan semakin meruncing pada Jumaat malam hingga Sabtu awal pagi apabila balai polis, kenderaan kerajaan dan beberapa kemudahan awam menjadi sasaran vandalisme serta kebakaran. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

