Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir Kejohanan Dunia

BEREGU badminton lelaki nombor negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Dunia selepas menewaskan rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King, dalam usingan ketiga di Adidas Arena, Paris pada Khamis.
Pasangan pilihan kedua kejohanan itu dikejutkan dengan kekalahan pada set pertama namun bangkit menampilkan aksi lebih kemas untuk mencatat kemenangan 18-21, 21-18, 26-24 dalam tempoh 64 minit.
Arif-Roy King membuka permainan dengan penuh keyakinan, mempamerkan aksi agresif untuk menundukkan pasangan senior mereka 21-18 pada set pertama.
Set kedua menyaksikan anak muda negara itu terus memberi tentangan hebat apabila mendahului 15-11, namun pengalaman dan ketenangan Aaron-Wooi Yik mula mengambil alih rentak permainan, sekaligus menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-18.
Pertarungan dramatik berterusan di set penentuan apabila Arif-Roy King hampir mencipta kejutan dengan mendahului 20-19, namun, kematangan dan ketenangan Aaron-Wooi Yik dalam saat genting menjadi pemisah apabila mereka bangkit untuk menamatkan aksi penuh debar itu 26-24.
Mengulas kemenangan tersebut, Aaron mengakui berdepan rakan sepasukan sendiri bukan tugas mudah kerana masing-masing sudah mengenali corak permainan dengan begitu mendalam.
“Mereka bermain sangat baik hari ini. Dalam detik-detik getir, mungkin sedikit tuah menyebelahi kami,” katanya.
Sementara itu, Wooi Yik turut mengakui bahawa pertembungan dengan Arif-Roy King bukan perlawanan yang boleh diambil mudah.
“Sebagai rakan sepelatih, kami tahu betapa sukarnya perlawanan ini kerana gaya permainan hampir sama. Mereka juga beraksi cemerlang dalam dua pusingan sebelum ini.
“Kami berikan sepenuh fokus dan akhirnya sedikit tuah memihak kepada kami,” jelasnya.
Kemenangan itu membolehkan Aaron-Wooi Yik berdepan beregu ranking kesembilan.
dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam misi memburu kejuaraan pertama mereka di pentas dunia, selepas muncul juara dunia 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
