Ibu dengar jeritan guru wanita, terkejut lihat menantu kelar leher

Pasukan forensik ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian seorang guru cuba membunuh isterinya di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas pada pagi Rabu. Foto kecil: Sazalee
Pasukan forensik ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian seorang guru cuba membunuh isterinya di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas pada pagi Rabu. Foto kecil: Sazalee
A
A
A

BAYAN LEPAS – Tindakan pantas seorang ibu menyelamatkan anak perempuannya daripada cubaan dibunuh oleh menantu sendiri berjaya mengelakkan tragedi berdarah di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, di sini pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, insiden berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila ibu mangsa terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum naik untuk memeriksa keadaan.

“Setibanya di bilik, wanita itu terkejut melihat menantunya yang juga seorang guru sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya menggunakan pisau dapur.

“Bagaimanapun, ibu mangsa sempat bertindak pantas menarik anaknya keluar dari bilik dan menyelamatkannya daripada terus diserang,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian, Rabu.

Tambahnya, selepas gagal membunuh isterinya, suspek bertindak mengelar leher dan pergelangan tangannya sendiri menggunakan senjata sama.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher namun berada dalam keadaan stabil, manakala suspek cedera parah dan kini dirawat di zon merah sebuah hospital, namun masih sedar.

Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri berusia 30 dan 28 tahun itu, masing-masing bekerja sebagai guru, telah berkahwin selama enam tahun dan mempunyai seorang anak.

“Hasil keterangan saksi mendapati pasangan ini hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang masalah kewangan, kemurungan atau konflik rumah tangga. Malah, komunikasi mereka malam sebelumnya juga dalam keadaan baik tanpa sebarang petanda luar biasa.

“Pasangan itu tinggal bersama keluarga isteri. Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!