Haier Cup 2025 satukan rakyat melalui badminton

Para pemenang Haier Cup 2025 tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan dan bakal mewakili negara ke peringkat serantau Haier Cup bermula Oktober nanti.
Para pemenang Haier Cup 2025 tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan dan bakal mewakili negara ke peringkat serantau Haier Cup bermula Oktober nanti.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas tiga bulan dipenuhi aksi mendebarkan dan sorakan gemuruh penyokong, Haier Cup 2025 akhirnya melabuhkan tirainya dengan penyertaan lebih 1,300 pemain badminton amatur dari seluruh negara.

Kejuaraan berprestij itu menutup gelanggang dengan perlawanan akhir yang penuh dramatik, mempersembahkan aksi terbaik daripada setiap kategori, termasuk lebih 500 bakat muda seawal usia tujuh tahun yang tampil mencuri tumpuan.

Penolong Pengarah Pemasaran Jenama Haier Malaysia, Julian Thean berkata, pihaknya berbesar hati kerana tahun ini merupakan penganjuran edisi ketiga, sekali gus dapat menyatukan masyarakat melalui sukan serta memperkukuh komitmen jenama terhadap gaya hidup sihat dan aktif.

“Dari tahun ke tahun, kejohanan ini telah menunjukkan peningkatan dari segi skala dan penyertaan. Bahkan sambutan terhadap Haier Cup Junior 2025 amat memberangsangkan.

“Inisiatif ini dekat di hati kami kerana ia memberi peluang kepada generasi muda untuk menggilap bakat, membina keyakinan diri dan menanam minat mendalam terhadap sukan,” katanya.

Tambahnya, semangat yang ditunjukkan para peserta dan sokongan masyarakat membuktikan Haier Cup benar-benar mendapat sambutan daripada komuniti seluruh negara.

“Sungguh bermakna apabila menyaksikan bagaimana kejohanan ini berjaya merapatkan jurang, mengukuhkan hubungan dan menyatukan orang ramai daripada pelbagai latar belakang.

Haier Cup 2025 menyaksikan sambutan luar biasa dengan penyertaan lebih 1,300 peserta.
Haier Cup 2025 menyaksikan sambutan luar biasa dengan penyertaan lebih 1,300 peserta.

Artikel Berkaitan:

“Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakan kongsi, peserta dan peminat. Kami juga berhasrat untuk kembali dengan capaian yang lebih luas, pengalaman yang lebih menarik dan peluang yang lebih besar untuk semua pada edisi seterusnya,” ujarnya.

Juara dari Kuching, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur berjaya merebut gelaran dalam empat kategori utama — perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran — seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai serta produk Haier dengan nilai keseluruhan RM60,000.

Walaupun saingan di gelanggang domestik sudah berakhir, namun para pemenang akan mewakili negara untuk menentang pemain Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam di peringkat serantau Haier Cup bermula Oktober nanti.

Dengan saingan peringkat serantau yang semakin hampir, tumpuan kini beralih ke Bali yang bakal menentukan sama ada Malaysia akan mempertahankan gelaran juara rantau yang dimenangi tahun lalu.

Buat pertama kalinya, kejohanan tersebut memperkenalkan Haier Cup Junior 2025 sebagai satu inisiatif penting untuk mencungkil bakat badminton masa depan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!