Selangor catat tahap kesuburan rendah - Exco

SHAH ALAM - Selangor kini berdepan kadar kesuburan semakin membimbangkan apabila hanya mencatatkan purata 1.5 anak bagi setiap wanita iaitu jauh lebih rendah daripada paras penggantian generasi iaitu 2.1 anak.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, statistik menunjukkan penurunan kelahiran hidup sebanyak 7.2 peratus pada 2022 berbanding 2021.
Menurut beliau, antara faktor itu disebabkan trend perkahwinan lewat dalam kalangan generasi muda khususnya Generasi Z menyumbang kepada penyusutan kadar itu.
"Ramai anak muda memilih untuk berkahwin lewat kerana mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi.
"Akibatnya, tempoh usia produktif semakin pendek sebelum mereka mencapai umur matang 40 hingga 45 tahun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) di sini pada Selasa.
Anfaal berkata, kerajaan negeri sedar cabaran itu, namun setakat ini belum ada inisiatif khusus berkaitan kesuburan.
Bagaimanapun, sebuah pusat subfertiliti akan dibangunkan di Shah Alam dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Katanya, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memudah cara urusan kelulusan bagi membolehkan projek itu direalisasikan.
"Pusat subfertiliti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga Selangor, malah seluruh penduduk Zon Tengah.
"Projek ini sudah diluluskan dalam RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12) dan dijangka siap menjelang tahun 2030," tambah beliau.
Mengulas mengenai seminar itu, Anfaal memberitahu, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu kependudukan selain menjadi platform perbincangan strategik.
"LPPKN berhasrat memperkukuh dasar dan intervensi yang menyokong institusi keluarga khususnya bagi generasi muda.
"LPPKN juga berharap hasil pembentangan dan perbincangan yang berlangsung dapat menjadi asas kukuh dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan intervensi yang lebih berkesan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

