Tindakan abang berbaju batik halang kenderaan plat Singapura isi RON95 dipuji

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki tempatan menegur pemilik kereta bernombor pendaftaran Singapura yang didakwa mengisi petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di bandar raya ini tular dan mendapat pujian ramai.
Dalam video berdurasi 53 saat yang tersebar di media sosial, lelaki berkenaan yang memakai baju batik dilihat menghampiri pemandu kereta tersebut sebelum meminta supaya tidak mengisi petrol RON95.
Rakaman itu menunjukkan situasi berkenaan berlangsung dengan tenang tanpa sebarang provokasi, sekali gus menarik perhatian orang ramai yang memuji keberanian serta sikap berhemah lelaki terbabit.
“Bagus cara abang ni, tegur dengan sopan tapi tegas,” komen seorang pengguna di Facebook.
“Kalau semua berani macam abang ni, orang luar takkan sewenang-wenangnya guna subsidi kita,” kata seorang lagi pengguna media sosial.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, anggota KPDN telah ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Sebelum ini, kerajaan menetapkan larangan jelas bahawa hanya rakyat Malaysia dibenarkan mengisi petrol bersubsidi RON95, manakala kenderaan asing diwajibkan menggunakan RON97.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

