Tender baharu helikopter TDM tindakan tepat – Ikmal Hisham

SHAH ALAM – Tindakan Kementerian Pertahanan (Mindef) membuka tender baharu bagi penyewaan empat helikopter untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas kontrak sewaan helikopter Black Hawk dibatalkan berikutan kegagalan syarikat memenuhi tempoh penghantaran ditetapkan, disifatkan sebagai langkah tepat.
Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, aset ketenteraan yang dibekalkan kepada pasukan keselamatan negara mesti menepati keperluan operasi sebenar pihak pengguna akhir.
“Saya mempertahankan tindakan Mindef bagi tender semula empat helikopter berkenaan berdasarkan keperluan mendesak TDM yang kini berdepan kelompongan serius aset tempur serta pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) pesawat helikopter bagi kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), selepas kesemua helikopter Nuri (S-61-A4) dilucut tauliah pada 2019.
“Untuk berlaku adil kepada Mindef dan TDM, dalam tender semula yang diuar-uarkan pada 4 Ogos 2025, dokumen berkenaan tidak pernah menyebut bahawa Mindef atau TDM mesti mendapatkan pesawat helikopter jenis Black Hawk.
“Walau bagaimanapun, keupayaan yang mesti ada pada helikopter itu ialah winching dan underslung capability. Jika diperhatikan, helikopter yang mampu memenuhi keperluan operasi semasa TDM hanyalah Black Hawk dan H225M atau EC725,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Ahad mengesahkan pihaknya membuka semula tender penyewaan empat helikopter untuk kegunaan TDM.
Katanya, sewaan itu dibuat selepas kementeriannya membatalkan kontrak sewaan helikopter Black Hawk pada November 2024 berikutan syarikat berkaitan gagal membekal serta menyediakan helikopter terbabit mengikut tempoh ditetapkan.
Mohamed Khaled berkata, penilaian empat helikopter berkenaan akan dibuat dengan mengambil kira pandangan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mengulas lanjut, Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, Malaysia perlu mengambil iktibar apabila kerajaan Filipina dan beberapa negara Eropah Timur mula membeli atau beralih kepada helikopter jenis S70i (Black Hawk) versi terkini untuk kegunaan tentera masing-masing.
Katanya, usaha Mindef membuka semula tender bagi mendapatkan keupayaan helikopter medium lift bersifat tempur dan CSAR wajar dilaksanakan segera.
“Bukan sahaja helikopter ini akan memberikan impak dan manfaat secara langsung dalam usaha TDM menjaga kedaulatan negara, malah turut menyokong agensi keselamatan lain dalam situasi bencana dan banjir,” katanya.
Beliau turut berharap Mindef berjaya mendapatkan keperluan helikopter berdasarkan keperluan sebenar pengguna akhir dan tidak terpengaruh dengan keputusan pelobi tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

