Mydin sasar 200,000 Kotak Sara Rahmah bantu golongan susah

Ameer (kanan) mengiringi Fuziah (tiga dari kiri) semasa Majlis Pelancaran Kotak Sara Rahmah di Mydin USJ pada Isnin.
Ameer (kanan) mengiringi Fuziah (tiga dari kiri) semasa Majlis Pelancaran Kotak Sara Rahmah di Mydin USJ pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menyasarkan untuk mengumpulkan sebanyak 200,000 Kotak Sara Rahmah melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk sumbangan barangan asas kepada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, program itu dilaksanakan dengan konsep ‘beli dan derma’ yang memberi peluang orang ramai membeli kotak berisi keperluan asas untuk disalurkan kepada keluarga B40, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Menurut beliau, kotak tersebut mengandungi barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, bihun serta makanan dalam tin selain turut menampilkan produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

“Kita buka program ini sehingga 31 Disember 2025, namun saya yakin dalam tempoh satu atau dua bulan pertama, sambutan lebih tinggi kerana kebiasaannya orang ramai lebih aktif pada peringkat awal pelancaran.

“Saya berharap lebih ramai mengetahui mengenai inisiatif ini termasuk syarikat korporat yang mahu menyumbang, dan mereka boleh terus menghubungi pihak kami untuk urusan pembelian serta penghantaran,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kotak Sara Rahmah di Mydin USJ, di sini pada Isnin.

Menurut Ameer, kotak yang dibeli akan dikumpulkan sebelum disalurkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau menjelaskan, sasaran 200,000 kotak itu bukan had mutlak kerana Mydin bersedia menambah jumlahnya sekiranya sambutan menggalakkan.

“Sasaran ini hanya penanda aras, namun jika ada permintaan lebih, kita akan tambah lagi kotak kerana tujuan utama adalah membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan,” ujarnya.

Ameer berkata, beberapa syarikat korporat sudah menyatakan minat untuk menyertai program itu dan pihaknya yakin lebih banyak penyertaan akan diterima selepas pelancaran rasmi.

Artikel Berkaitan:

“Program Sara Rahmah ini membawa mesej daripada rakyat untuk rakyat dengan penghantaran kotak dibuat terus ke lokasi tumpuan orang ramai termasuk masjid bagi memudahkan penyampaian bantuan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, inisiatif tersebut memberi pilihan kepada penerima bantuan yang tidak mahu menggunakan sumbangan untuk menyalurkannya kembali kepada pihak lain.

Menurut beliau, usaha itu melengkapi inisiatif Rahmah lain termasuk Menu Rahmah dan Bakul Rahmah yang sebelum ini mendapat sambutan baik rakyat.

“Saya berharap lebih banyak pasar raya besar lain tampil dengan konsep berbeza mengikut segmen keluarga, warga emas atau pelajar,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, lebih 22 juta rakyat Malaysia layak menerima sumbangan tunai RM100 menerusi inisiatif kerajaan, dan Mydin menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 sumbangan dapat dikumpulkan melalui Kotak Sara Rahmah.

“Penyumbang boleh memilih sama ada menyerahkan sendiri kotak berkenaan atau mewakilkan Mydin untuk mengedarkannya. Malah van atau lori mudah alih turut disediakan bagi memudahkan urusan sumbangan,” jelasnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!