Wanita rayu polis bebaskan suami curang dengan rakan sendiri

GOWA - Seorang wanita meminta polis membebaskan suaminya yang sebelum ini ditahan kerana mencederakannya selepas terbongkar hubungan curang lelaki itu dengan rakannya sendiri.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Gowa, AKP Bachtiar berkata, wanita berinisial NU, 33, dari Kabupaten Gowa, Sulawesi Selatan hadir ke balai polis dan merayu agar kes berkenaan diselesaikan secara damai.
“Saya mendapat laporan daripada pegawai Bahagian Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak bahawa pelapornya iaitu isteri suspek sendiri datang ke balai.
“Menangis meminta supaya kes diselesaikan secara aman,” katanya pada Sabtu.
Bachtiar mengakui masih belum mengetahui secara jelas alasan mangsa ingin berdamai.
Bagaimanapun, ujar beliau, pihaknya tidak akan serta-merta melakukan keadilan restoratif hanya berdasarkan permintaan mangsa.
“Jadi, walaupun mahu menggunakan kaedah keadilan restoratif, kami perlu pastikan dahulu alasannya dan ia perlu melibatkan pihak kerajaan setempat, keluarga serta pihak lain,” ujar Bachtiar.
Difahamkan, suami mangsa dikenali sebagai SA, 42, kini masih ditahan di lokap Unit Polres Gowa selepas menganiaya isterinya pada Khamis.
SA didakwa mengasari isterinya ketika berlaku pertengkaran selepas perbuatan curangnya terbongkar.
“Motifnya adalah kerana curang. Perbuatan curang suami itu terbongkar setelah isterinya mendapati ada perbualan mesej dengan wanita lain dalam telefon bimbitnya.
“Rupa-rupanya wanita itu ialah rakan isterinya sendiri. Akhirnya tercetus pertengkaran mulut hingga berlakunya keganasan rumah tangga pada hari kejadian.
“Suami cedera, isteri juga cedera. Suami melawan ketika diserang isteri,” ujarnya.
Menurut Bachtiar, akibat kejadian itu mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan belakang badan.
Kata beliau, manakala si suami pula mengalami luka di tangannya.
“Ada juga cubaan menikam isteri tetapi tidak kena kerana pisau itu terlepas daripada genggaman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

