Ahli sindiket curi susu formula celah kelangkang dituduh

Tertuduh (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Jumaat.
Tertuduh (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA – Seorang anggota sindiket mencuri susu formula dengan taktik menyembunyikannya di perut dan celah kelangkang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas tuduhan mencuri susu bernilai RM1,826.10.

Tertuduh, Mohd Safri Jilji, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret N Sivashangari.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia bersama dua lagi individu yang masih bebas didakwa mencuri 11 kotak susu bernilai RM1,826.10 di premis 99 Speedmart Taman Paya Emas dan 99 Speedmart Bandar Baru Sungai Udang di sini, kira-kira jam 7 malam pada 1 dan 2 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda. Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, tertuduh boleh dihukum dengan penjara serta dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Roslan mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Chua Yong Yi merayu agar jumlah jaminan direndahkan atas alasan anak guamnya baru menjalani pembedahan, memerlukan rawatan susulan serta menjaga ibunya yang menghidap strok.

Selain itu, tertuduh juga tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya isterinya bekerja di sebuah salun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian pada 14 Ogos lalu melaporkan tentang kelicikan sindiket mencuri susu formula bayi dan kanak-kanak dengan taktik menyembunyikannya di perut dan celah kelangkang yang akhirnya tumpas selepas ahli kumpulan tersebut dicekup polis dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dijalankan oleh Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hasil risikan susulan dua laporan kecurian susu formula di pasar mini Taman Paya Emas dan Bandar Baru Sungai Udang pada 2 Ogos lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!