Honda Civic terbabas bawa syabu RM7 juta

SUBANG JAYA - Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic di SS17 di sini pada 13 Ogos lalu, membongkar penemuan dadah bernilai RM7 juta.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.30 pagi selepas menerima panggilan daripada orang awam.
Menurutnya, anggota Balai Polis Subang Jaya yang tiba di lokasi mendapati tiada pemandu atau mana-mana individu di dalam mahupun di luar kereta terbabit.
"Pemeriksaan di ruangan tempat duduk belakang menjumpai empat guni berisi 78 bungkusan plastik, manakala di dalam but ditemui tujuh guni berisi 130 bungkusan plastik.
"Secara keseluruhan, polis merampas 11 guni berisi 208 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu seberat 220.16 kilogram bernilai RM7 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jumaat.
Beliau berkata, polis kini giat mengesan seorang individu dikenali sebagai Mohd Rahmat Hanafi, 32, beralamat di Rantau Panjang, Kelantan, selepas menemukan kad pengenalan dalam kenderaan terbabit.

Tambahnya, semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod jenayah serta sembilan kes dadah lampau.
Jelasnya lagi, siasatan turut mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kemalangan itu turut melibatkan kenderaan lain atau kereta terbabit sahaja.
"Dipercayai lelaki itu masih berada dalam negara dan kami sedang menyiasat peranannya serta sumber bekalan dadah tersebut," katanya.
Wan Azlan turut meminta orang ramai termasuk pengguna jalan raya yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Saifullah Rosdi di talian 017-9065674 atau balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
