'Along, mak rindu nak dengar suara kau...'

Azizah (kiri) setia menemani anak sulungnya, Anisah yang kini sakit terlantar akibat strok.
Azizah (kiri) setia menemani anak sulungnya, Anisah yang kini sakit terlantar akibat strok.
A
A
A

KUALA PILAH – “Along, bila kau nak baik, mak rindu nak bercakap dengan kau. Kau dah lama tak boleh bercakap.”

Itu luahan sayu Azizah Mohd Isa, 73, yang kini menjaga anak sulungnya, Anisah Mat Som, 53, yang terlantar akibat strok dan tidak lagi mampu bercakap sejak setahun lalu.

Azizah berkata, anaknya rebah ketika menyiram pokok di rumah sewanya di Sendayan sebelum kesihatannya semakin merosot tiga hari kemudian ketika dalam perjalanan ke Kuala Pilah.

Azizah (kiri) memberikan susu khas kepada anaknya yang terlantar akibat strok.
Azizah (kiri) memberikan susu khas kepada anaknya yang terlantar akibat strok.

“Masa itu dia sedang memandu, dia cakap tak sedap badan, mata pun kabur. Dia terpaksa berhenti kereta di tepi jalan sebelum meminta anaknya bawa ke hospital.

“Anisah kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga minggu akibat pendarahan di kepala sebelum mengalami strok,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simat, Johol, pada Khamis.

Anisah menerima rawatan selama tiga bulan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dan kemudian dijaga adiknya di Seremban selepas dibenarkan keluar hospital.

Dia kemudian dibawa pulang ke kampung untuk memudahkan Azizah menjaga anak sulung daripada enam beradik itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Azizah, kos rawatan Anisah termasuk ubat cuci luka dan pengangkutan ke hospital mencecah RM1,000 sebulan.
Menurut Azizah, kos rawatan Anisah termasuk ubat cuci luka dan pengangkutan ke hospital mencecah RM1,000 sebulan.

Sepanjang Anisah sakit, anak sulungnya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, manakala anak keduanya, Muhammad Zakwan Azman, 26, terpaksa berhenti kerja bagi menjaga ibunya sepenuh masa.

Anak bongsunya pula kini berada dalam jagaan bekas suami dan bersekolah di Tingkatan Lima.

Azizah berkata, cucunya, Muhammad Zakwan kini hanya membuat kerja sambilan sebagai pemotong rumput dan tukang rumah bagi menampung kos perubatan Anisah.

“Anisah menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta bantuan barangan daripada Baitulmal (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan) berupa susu khas dan lampin pakai buang.

“Kos rawatan Anisah termasuk ubat cuci luka dan pengangkutan ke hospital mencecah RM1,000 sebulan.

“Saya yang turut menerima bantuan JKM, ada kala menggunakan sebahagian wang itu untuk menampung keperluan tambahan Anisah,” katanya.

Walaupun sudah berusia dan tidak sekuat dahulu, Azizah tetap cekal menjaga anaknya.

“Saya sedih lihat keadaan dia. Patutnya dia yang jaga saya, tapi sekarang saya pula jaga dia. Saya cuma harap ada keajaiban… saya rindu dengar suara dia,” katanya sebak.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank milik anak Anisah, Muhammad Zakwan Azman bernombor 155050481351.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!