Pempengaruh temui ajal kerana 'cabaran ekstrem' selama 12 hari

PARIS – Seorang pempengaruh media sosial meninggal dunia ketika sedang bersiaran langsung.
Raphaël Graven, 46, dikenali dengan nama Jean Pormanove atau JP dari Perancis, terkenal di platform Kick, dilaporkan meninggal dunia pada Isnin lalu selepas melakukan penstriman langsung hampir 300 jam.
Pejabat Pendakwa Raya Nice mengesahkan siasatan telah dilancarkan ke atas kematiannya dan arahan autopsi turut dikeluarkan.
Pengikutnya mendakwa JP berdepan ‘tindakan kekerasan melampau’ termasuk dipukul dan dicekik sepanjang tempoh hampir 12 hari tersebut.
Veteran tentera itu, yang kerap bersiaran langsung ketika bermain permainan video, mempunyai lebih sejuta pengikut di beberapa platform media sosial.
Dia juga sering melakukan cabaran ekstrem dan menjadi ‘sasaran ganas’ pempengaruh lain demi menghasilkan kandungan yang kononnya untuk menghiburkan pengikut mereka.
Sejak 2023, JP bersiaran langsung bersama beberapa pempengaruh terkenal lain termasuk Owen Cenazandotti atau Naruto Online serta Safine Hamadi, yang turut bersama dalam siaran terakhirnya.
Koleksi video JP jelas menunjukkan dia kerap menjadi sasaran gurauan melampau, mangsa buli, diserang secara fizikal serta dipaksa melakukan aksi memalukan.
Sementara itu, Yassin Sadouni, peguam kepada Cenazandotti, mendakwa JP mengalami masalah kardiovaskular. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

