Jalan berpasir dipercayai punca kemalangan maut libatkan pengantin baharu

SHAH ALAM - Kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal di Persiaran Mokhtar Dahari, di sini pada Selasa, sepatutnya boleh dielakkan sekiranya laluan berkenaan diselenggara dengan baik.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi berkata, keadaan jalan yang dipenuhi pasir serta tanah dipercayai berpunca daripada aktiviti kuari berhampiran.
“Kejadian ini sepatutnya boleh dielakkan. Bendasing seperti pasir, batu dan tanah di sepanjang laluan di tepi hutan dipercayai hasil korekan aktiviti kuari di kiri kanan kawasan tersebut.
“Masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama, namun semakin serius kebelakangan ini berikutan ketiadaan pengawasan pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, lokasi kejadian terbaru itu terletak di hadapan sebuah kuari yang baru dibuka.
“Masalahnya, langsung tidak ada flagman, tiada juga kolam basuh tayar. Jadi lori keluar masuk membawa pasir serta tanah yang tertinggal di atas jalan raya,” katanya.
Menurutnya, keadaan bertambah teruk apabila hujan kerana air dari bukit turut mengalir membawa pasir dan tanah ke jalan.
“Akibatnya ia berkumpul di tepi jalan dan merisikokan pengguna, khususnya penunggang motosikal.
“Perkara ini seharusnya dipantau oleh pihak berwajib yang bertanggungjawab melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan,” ujarnya.
Terdahulu, suasana hiba menyelubungi lokasi kemalangan apabila seorang juruteknik maut setelah motosikal ditungganginya terbabas di Persiaran Mokhtar Dahari.
Kejadian menyayat hati yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan seorang wanita dipercayai kakak mangsa berada di sisi mayat, selepas mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Menerusi perkongsian di media sosial, mangsa difahamkan baru mendirikan rumah tangga pada tahun ini dan meninggalkan seorang balu yang sedang mengandung anak pertama mereka.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika melalui kawasan berpasir di bahu kiri jalan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa tercampak ke kawasan berumput di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

