Lotus’s Malaysia didik pelajar bijak urus kewangan

KAJANG- Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) melancarkan program Smart Shopper Plus di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah (Integrasi) di sini sebagai langkah memperkasa pelajar sekolah angkat dengan kemahiran kewangan dan perbelanjaan berhemah sejak usia muda.
Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Azmel berkata, program itu merupakan antara topik pertama di bawah inisiatif Smart Up Lotus’s dan Yayasan PINTAR, direka untuk membentuk tabiat kewangan bijak dalam kalangan pelajar, sekali gus membantu mereka membuat keputusan pembelian tepat untuk diri sendiri dan keluarga.
Menurut beliau, bengkel Smart Shopper Plus menekankan kemahiran mengutamakan keperluan berbanding kehendak, mengurus perbelanjaan dengan bijak, menabung serta memanfaatkan wang sebaik mungkin.
“Pada tahun ini, bengkel akan diadakan di 40 sekolah angkat Lotus’s Malaysia, melibatkan lebih 6,400 pelajar dari sekolah rendah hingga sekolah menengah.

“Kami percaya bermula dari usia muda adalah kunci untuk memupuk tabiat kewangan berkekalan, menggalakkan kebebasan kewangan dan membuat keputusan perbelanjaan yang bijak,” ujarnya pada majlis pelancaran program Smart Shopper Plus di SMK Sultan Abdul Aziz Shah (Integrasi) di sini, Khamis.
Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan PINTAR, Norzalina Masom dan Pengetua SMK Sultan Abdul Aziz Shah (Intergrasi), Maheran Abdul Rahman.
Azliza berkata, usaha tersebut tidak akan tercapai tanpa kerjasama program sekolah angkat bersama Yayasan PINTAR bermula sejak 2016, melibatkan 63 sekolah daripada komuniti kurang berkemampuan di seluruh negara.
“Kerjasama ini bukan sahaja memberi tumpuan pada pencapaian akademik, malah membina kemahiran bukan akademik yang penting untuk masa hadapan. Smart Shopper Plus adalah satu lagi langkah penting dalam misi bersama ini,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Pintar kerana meneruskan kerjasama dan membangunkan kandungan relevan, serta kepada peserta, syarikat-syarikat dan jenama-jenama yang menyumbang melalui Lotus’s Ceria Charity Run 2024 yang memberi kesan positif dalam membentuk generasi celik kewangan.
Azliza menegaskan, Smart Shopper Plus hanyalah permulaan dan Lotus’s dengan Kerjasama Yayasan PINTAR akan memperkenalkan lebih banyak topik pada masa depan bagi memperluas pengetahuan serta kemahiran pelajar sekolah angkat.

“Kami mahu memastikan setiap pelajar mendapat manfaat daripada inisiatif yang memberi inspirasi dan memperkasa mereka untuk masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.
Mengulas mengenai sumber pembiayaan program itu, Azliza berkata, ia dibiayai sepenuhnya daripada kutipan dana Ceria Charity Run 2024 yang berjaya mengumpulkan RM400,000 hasil perserta dan rakan kongsi niaga.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan, penaja dan peserta larian kerana dengan sumbangan mereka, kami dapat menjayakan program ini dan saya amat menghargai usaha semua yang terlibat,” ujarnya.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk menyertai Ceria Charity Run 2025 yang bakal diadakan pada 14 September 2025.
“Setakat ini, hanya acara larian sejauh lima kilometer masih dibuka untuk pendaftaran. Jadi, saya berharap dapat berjumpa anda semua di larian tahun ini,” tambahnya.
Perancangan perbelanjaan
Sementara itu, menurut sekumpulan pelajar sekolah yang ditemui ketika program berlangsung, program itu membuka mata mereka tentang kepentingan membezakan antara keperluan dan kehendak, selain mengajar cara membuat perancangan perbelanjaan yang bijak.

“Menerusi bengkel ini, kami belajar bagaimana untuk mengawal perbelanjaan harian, menabung secara konsisten dan menggunakan wang dengan sebaik mungkin. Ia sangat berguna untuk persediaan masa depan,” ujar mereka.
Pelajar juga berpendapat, kaedah pembelajaran interaktif yang digunakan menjadikan sesi lebih menyeronokkan dan mudah difahami, sekali gus memudahkan mereka mempraktikkan ilmu yang diajar dalam kehidupan seharian.
“Kami tidak sangka topik seperti pengurusan wang boleh diajar dengan cara yang menarik dan mudah difahami. Ia membuatkan kami lebih yakin untuk mengurus kewangan sendiri,” ujar mereka lagi.
Program anjuran Lotus’s Malaysia dengan kerjasama Yayasan PINTAR itu turut memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan membuat keputusan kewangan yang tepat, walaupun pada usia muda.
“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun kerana ia memberi manfaat besar, bukan sahaja kepada kami tetapi juga kepada pelajar di sekolah lain,” tambah mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

