Skuad B-23 asah taring jumpa Kuwait, Oman

Nafuzi. FOTO: MALAYSIA NT
Nafuzi. FOTO: MALAYSIA NT
A
A
A

PENGENDALI skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain melihat siri aksi persahabatan di Bangkok sebagai peluang terbaik untuk menilai tahap persediaan anak buahnya sebelum turun beraksi pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 bulan depan.

Menurutnya, perlawanan menentang dua wakil Asia Barat iaitu Kuwait dan Oman dalam aksi persahabatan di Bangkok menjadi medan penting untuk menguji keupayaan sebenar pasukan muda negara.

"Untuk perlawanan persahabatan dekat Bangkok ini, saya fikir ia akan menjadi persediaan yang baik. Kita akan bertemu dengan pasukan yang kuat iaitu Kuwait dan juga Oman.

"Seperti yang telah dirancang, perlawanan tersebut adalah satu persediaan yang bagus, yang baik sebelum bertemu dengan Lubnan nanti," katanya.

Skuad Harimau Muda mengharungi kem latihan selama 13 hari di Bangkok bermula Isnin sehingga 31 Ogos ini yang turut meliputi dua aksi persahabatan menenrang Kuwait dan Oman.

Selepas itu, mereka yang diundi dalam Kumpulan F akan membuka tirai menentang Lubnan pada 3 September, diikuti aksi bertemu Mongolia (6 September) sebelum menutup saingan menentang tuan rumah Thailand pada 9 September di Stadium True BG, Pathum Thani, Thailand.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen Kelayakan Piala Asia B-23, Nafuzi mengakui pasukannya berdepan laluan sukar apabila diundi dalam Kumpulan F bersama Lubnan, Mongolia serta tuan rumah Thailand.

“Untuk perlawanan pertama, kita akan bertemu dengan Lubnan dan saya akui mereka sebuah pasukan yang berkualiti. Begitu juga Thailand yang akan bermain di laman sendiri, manakala Mongolia juga tidak boleh dipandang mudah.

“Kumpulan ini memang sukar, tetapi kita perlu benar-benar bersedia dari semua aspek. Sasaran kita jelas, iaitu layak ke pusingan akhir. Untuk itu, kita kena tunjukkan prestasi terbaik sepanjang kempen ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan barisan pemainnya agar tidak mengambil mudah cabaran lawan kerana setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kita tahu tugas ini bukan mudah, tetapi dengan persiapan rapi dan semangat yang ada, Insya-ALLAH kita akan cuba lakukan yang terbaik untuk negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!