Restoran sedia ganjaran RM30,000 bantu siasatan kes Zara Qairina

Video solidariti Restoran Tok Keramat kepada Zara Qairina yang tular pada Ahad.
Video solidariti Restoran Tok Keramat kepada Zara Qairina yang tular pada Ahad.
A
A
A

JITRA – Sebuah restoran tempatan di sini tampil menawarkan ganjaran sebanyak RM30,000 kepada sesiapa yang dapat membantu siasatan berhubung kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah menengah agama di Sabah bulan lalu.

Penasihat perniagaan Restoran Tok Keramat, Sobri Zakaria, 57, berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu kerana berasakan tanggungjawab moral terhadap nasib yang menimpa remaja berkenaan.

Menurut Sobri, tawaran ganjaran itu bertujuan memudahkan siasatan pihak berkuasa agar individu yang bertanggungjawab dapat dikenakan tindakan sewajarnya.

Sobri
Sobri

“Saya terpanggil untuk membantu kerana saya kasih dan sayang pada kanak-kanak. Hadis Rasulullah SAW ada menyebut, barang siapa yang tidak kasih kepada kanak-kanak dan orang tua, dia bukan daripada golongan kami.

“Kejadian yang berlaku pada adik Zara membuatkan saya berasa terpanggil untuk bersuara. Nabi juga kasih pada ibu tunggal seperti ibu Zara yang kini dalam kesusahan. Zara pula anak tunggal. Jika kita tidak ada perasaan kasih, di mana Islam kita? Kita semua akan mati suatu hari nanti dan mengharapkan syafaat Rasulullah SAW.

“Terlintas di hati dan menitis air mata bila melihat kejadian yang menimpa Zara. Kalau berlaku pada anak-anak atau cucu-cucu saya, bagaimana?” katanya ketika ditemui di restorannya di Jitra pada Isnin.

Terdahulu, tular video yang dihasilkan Restoran Tok Keramat dimuat naik pada Ahad lalu, menyatakan solidariti terhadap Zara Qairina termasuk tawaran ganjaran RM30,000 kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkap pelaku untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Sobri, beliau berharap usahanya itu sedikit sebanyak dapat membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes Zara Qairina yang menimbulkan banyak persoalan.

Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.

Kematian remaja itu mencetuskan perhatian meluas selepas timbul dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!