PM sedia mohon maaf kepada Muhyiddin, tunggu siasatan SKMM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk memohon maaf kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri itu mempertahankan pemberian subsidi kepada warga asing didapati tidak benar.
Menteri Kewangan itu berkata, beliau menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesahkan ketulenan sumber maklumat yang dirujuk.
“Kalau dipastikan tidak ada sumber yang sahih...itu satu kesilapan. Saya tiada masalah untuk memohon maaf. Tapi tunggu keputusan SKMM dulu,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada Khamis.
Minggu lalu, Anwar mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu mempertahankan pemberian subsidi minyak kepada warga asing atas alasan mereka turut menyumbang kepada negara.
Muhyiddin menafikan perkara itu sebelum Anwar kemudian mengarahkan SKMM menjalankan siasatan yang menumpukan kepada kandungan sebuah video TikTok.
Perkara itu mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan Anwar memperoleh maklumat palsu yang disebarkan menerusi satu video TikTok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

