Wanita turun maki pengadil bantah penalti pasukan anak

PRAGUE – Seorang wanita di Republik Czech mencuri perhatian dunia selepas bertindak nekad memasuki gelanggang ais ketika perlawanan hoki remaja bagi membantah siri penalti terhadap pasukan anaknya, lapor Oddity Central.
Dalam beberapa video tular yang dirakam di sebuah gelanggang ais di Prague awal bulan ini, wanita berkenaan dilihat meluru masuk ke atas ais ketika perlawanan antara pasukan “United Selects” dan “Ice Mammoths” sambil memarahi pengadil mengenai jumlah penalti yang dikenakan terhadap pasukan anaknya.
Aksi itu bertukar tegang apabila berlaku insiden tolak-menolak dengan seorang pengadil sebelum wanita itu diheret keluar.
Namun, dia terus melemparkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengadil, sebelum kembali memasuki gelanggang sekali lagi dan sekali lagi diiring keluar.
Klip video tersebut menjadi tular di Instagram, Facebook dan X, mengundang ratusan komen lucu netizen.
“Hebat, akhirnya jadi viral dan anak awak tak boleh main dalam liga ini lagi, terima kasih mak!” tulis seorang pengguna.
“Apa versi ‘Karen’ di Czech? Saya akan rasa malu tahap cair ke dalam ais kalau ini mak saya,” komen yang lain.
“Kasihan budak tu, dia takkan lupa peristiwa ini,” ujar seorang pengguna Instagram.
Difahamkan, pasukan anaknya ketika itu ketinggalan 9-0, yang menurut wanita itu berpunca daripada siri penalti tidak adil oleh pengadil. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
