Dikejar polis dari Chaah ke Yong Peng, suspek curi kereta ditahan

SEGAMAT – Seorang lelaki ditahan polis selepas cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu dan berbahaya ketika dikejar kereta peronda di Jalan Labis–Chaah, pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.15 malam ketika unit peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat melakukan rondaan di kawasan tersebut.
“Pasukan polis mengesan sebuah kereta Proton Wira berwarna perak yang dilaporkan hilang di kawasan Labis pada hari sama.
“Ketika diarahkan berhenti di persimpangan lampu isyarat berhadapan Balai Polis Chaah, suspek enggan mematuhi arahan dan bertindak memecut ke arah Yong Peng.
“Suspek memandu secara melulu sehingga melanggar beberapa kenderaan awam sebelum berjaya ditahan di Kilometer 3, Jalan Yong Peng–Segamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek berusia 20 tahun itu memiliki satu rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki polis kerana kesalahan berkaitan jenayah narkotik.
“Suspek kini direman selama empat hari hingga 16 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
“Seterusnya, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh di jalan awam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

