Selangor laksana program khas bendung buli di sekolah agama - Amirudin

Amirudin (tengah) merasmikan Seminar Wasatiyyah dan Peluncuran Selangor Bertadabbur 2025 di STDC Kuala Selangor pada Rabu.
Amirudin (tengah) merasmikan Seminar Wasatiyyah dan Peluncuran Selangor Bertadabbur 2025 di STDC Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan melaksanakan program khas, sekali gus mengeluarkan arahan tertentu bagi membendung gejala buli di sekolah-sekolah agama di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menghendaki semua pengarah pendidikan negeri dan daerah mengadakan lawatan mengejut ke sekolah.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memastikan tiada sebarang insiden yang menimbulkan kegelisahan ibu bapa dan penjaga terutama membabitkan pelajar sekolah berasrama.

"Kita memandang serius perkara ini dan insya-Allah kita akan laksanakan arahan dan program yang baik di bawah sekolah-sekolah JAIS khususnya di Maktab Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) dan sekolah berasrama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Wasatiyyah dan Peluncuran Selangor Bertadabbur 2025 di Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) Kuala Selangor di sini pada Rabu.

Amirudin berkata, usaha bersepadu itu diharap dapat memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan bebas daripada sebarang bentuk buli.

"Kita akan memastikan tiada sebarang insiden yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga terhadap keselamatan anak-anak mereka," ujar beliau.

Mengulas lanjut mengenai seminar itu, Amirudin memberitahu, program tahunan bersama asatizah negeri diteruskan pada tahun ini dengan fokus memperkukuh konsep kesederhanaan (wasatiyyah) dalam komuniti dan masyarakat.

Jelas beliau, inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan negeri melalui Team Selangor yang bukan sahaja menumpukan aktiviti sukarelawan belia, malah turut menganjurkan program berunsur keagamaan.

Artikel Berkaitan:

"Team Selangor bukan hanya program tumpuan sukarelawan kepada anak muda, tetapi juga mendekatkan mereka dengan program agama seperti Selangor Bertadabur yang kini memasuki edisi ketujuh dan kelapan,” katanya.

Menurut Amirudin, kerjasama penganjuran program itu amat dihargai dan tahun ini tema yang dibawa adalah pemahaman kesederhanaan serta penerapan konsep wasatiyyah dalam kalangan masyarakat," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!