Guru sekolah memandu cedera ditumbuk penunggang motosikal

BATU PAHAT – Seorang guru sekolah memandu cedera selepas dipercayai diserang seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Muar–Batu Pahat di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 7.24 malam daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari bermula di kawasan Taman Mutiara, Parit Sulong di sini apabila suspek yang menunggang motosikal menahan kereta dipandu mangsa.
“Perselisihan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap cara pemanduan antara mereka berdua sebelum suspek menumbuk cermin hadapan kereta mangsa sehingga retak.
“Mangsa meneruskan perjalanan hingga ke hadapan Balai Polis Parit Sulong namun terus diekori suspek.
"Apabila kedua-duanya keluar dari kenderaan, suspek menumbuk mangsa sehingga cedera di bahagian dahi sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, polis menahan suspek berusia 33 tahun di kawasan Parit Raja di sini untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera,"ujarnya.
Sebelum itu tular video selama satu minit 47 saat memaparkan insiden berkenaan dengan keadaan pemandu yang cedera serta berdarah di kepala.
Penunggang motosikal turut dilihat menendang beberapa kali pintu kereta dan mengekori kereta berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

