Remaja lelaki warga Mesir dipercayai hilang sejak Julai lalu

SUBANG JAYA – Seorang remaja lelaki warga Mesir dipercayai hilang selepas gagal dihubungi ahli keluarganya sejak hampir sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, individu dikenali sebagai Youssef Sameh Sayed Khaled Abdelwahab, 17, kali terakhir dikesan sebelum 21 Julai.
Beliau berkata, remaja itu dilaporkan hilang oleh wakil kolejnya pada 11 Ogos, kira-kira jam 6.14 petang.
"Pihak polis menerima laporan daripada wakil universiti yang memaklumkan bahawa keluarga mangsa tidak dapat menghubunginya sejak 21 Julai.
"Remaja terbabit merupakan bekas pelajar kolej dan setakat ini usaha mengesannya sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wan Azlan berkata, individu itu mempunyai ciri fizikal berketinggian 175 sentimeter, berat 60 kilogram, berkulit cerah, berambut hitam pendek dan kerinting, hidung mancung, mata biasa serta mulut nipis.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 / 03-7862 7100 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

