Remaja mengaku curi baju 'bundle' RM260

PETALING JAYA - Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas satu pertuduhan mencuri tiga baju terpakai bernilai RM260 pada Sabtu lalu.
Siew Kah Hoe yang juga penganggur membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal.
Memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda, mahkamah menetapkan 14 Oktober depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta iaitu tiga t-shirt dari Amerika Syarikat berjenama 'X-Large' bernilai RM260 di sebuah kedai pakaian di PJ Old Town di sini pada jam 2.29 petang 9 Ogos.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Nur Aiman Toharudin merayu anak guamnya diberi jaminan pada kadar minimum.
"Dia tidak bekerja dan masih bujang, maka saya mohon ikat jamin dikurangkan dan tidak berbentuk menghukum mahu pun keterlaluan," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Amira Sariaty membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

