Slot bimbang Liverpool mudah dibolosi

Arne Slot mengakui barisan pertahanannya terlalu mudah dibolosi selepas tewas kepada Crystal Palace. Foto AFP
Arne Slot mengakui barisan pertahanannya terlalu mudah dibolosi selepas tewas kepada Crystal Palace. Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengakui barisan pertahanannya terlalu mudah dibolosi selepas tewas kepada Crystal Palace menerusi penentuan penalti pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley pada Ahad.

Skuad The Reds yang berwajah baharu selepas berbelanja £260 juta (RM1.48 bilion) pada jendela perpindahan mempamerkan corak serangan menarik apabila dua pemain baharu, Hugo Ekitike dan Jeremie Frimpong masing-masing meledak gol.

Namun, Liverpool gagal mempertahankan kelebihan dua kali apabila Palace menyamakan kedudukan menerusi penalti Jean-Philippe Mateta dan jaringan Ismaila Sarr pada minit ke-77, sebelum aksi berakhir 2-2 dan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Musim lalu, Liverpool menewaskan Palace 1-0 di Selhurst Park dan seri 1-1 di Anfield pada hari terakhir musim, sekali gus menjuarai liga dengan berbaki empat perlawanan.

Slot mengakui teruja melihat potensi jentera serangan baharunya, khususnya Florian Wirtz apabila beliau menjadi perancang kepada gol pembukaan Ekitike seawal minit keempat.

Namun, kelemahan yang sering berulang dalam aksi pramusim kembali menghantui apabila barisan pertahanan mudah dibolosi serangan balas lawan.

Sebelum ini, Liverpool tewas 2-4 kepada AC Milan di Hong Kong dan menang tipis 3-2 ke atas Athletic Bilbao di Anfield.

“Kalau dilihat dari segi serangan menentang pasukan yang begitu kompak, ia mungkin sedikit lebih baik berbanding musim lalu. Tahun lepas kita hanya mampu jaringkan satu gol menentang Palace, kali ini dua gol dan cipta lebih banyak peluang.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi dari segi pertahanan, kita bolos dua gol seperti menentang Bilbao malah bolos lebih banyak ketika menentang Milan. Ini sesuatu yang perlu diperbaiki," katanya.

Musim lalu, hanya Arsenal mempunyai rekod pertahanan lebih baik daripada Liverpool dan Slot mahu segera membaiki kelemahan itu sebelum aksi pembukaan liga menentang Bournemouth di Anfield.

“Kita mampu cipta lebih banyak peluang tetapi sekarang kita juga bolos lebih banyak. Kalau mahu bersaing merebut kejuaraan, kita tidak boleh memberi lawan peluang sebegini.

“Hari ini kita terlalu banyak beri ruang untuk mereka menjaringkan gol,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!