Empat loji rawatan air di Selangor kembali beroperasi

Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas semalam berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor. Gambar kecil: Abdul Halem
Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas semalam berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor. Gambar kecil: Abdul Halem
A
A
A
SHAH ALAM - Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 10.30 malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Halem Mat Som berkata, tindakan operasi pengepaman air kolam serta pelepasan air mentah daripada Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi serta Horass 600 berjaya mencairkan bahan pelarut yang terdapat dalam Sungai Selangor.

"Pencemaran bau telah menurun sehingga 0 ton yang membolehkan pengepaman air mentah dilakukan untuk dirawat oleh keempat-empat loji rawatan air berkenaan.

"Berikutan henti tugas empat loji tersebut selama tiga jam, hanya beberapa kawasan di wilayah Kuala Selangor dan Klang terjejas pada masa ini iaitu sebahagian Kuala Selangor dan Ijok manakala wilayah Klang melibatkan Shah Alam, Kapar, Meru, Telok Gong, Pulau Indah dan Pulau Ketam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi kawasan di Kuala Selangor, Shah Alam, Telok Gong, Pulau Indah dan Pulau Ketam dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi hari ini.

"Bagi kawasan Meru dan Kapar, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 6 petang.

"Air Selangor mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pelanggan yang terjejas termasuk menghantar bantuan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas," katanya.

Semalam, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di tujuh wilayah termasuk Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Susulan itu, Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 7 malam semalam.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan bekalan air di tujuh wilayah Selangor, KL