Tukar pegawai penyiasat kes kematian Zara Qairina - Dr Akmal

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak agar pegawai penyiasat dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang maut selepas terjatuh dari bangunan asrama di Papar, Sabah, ditukar.
Beliau menegaskan, ia bagi memastikan kes tersebut diadili tanpa timbul sebarang pertelingkahan.
"Kita desak juga agar kes ini disiasat oleh pegawai penyiasat yang berlainan daripada yang menjalankan siasatan awal agar kes ini dapat diadili tanpa ada sebarang syak wasangka.
"Pemergiannya dirasai oleh kita semua. Kita semua Zara Qairina. #justiceforzaraQairina," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar itu.
Menurut AGC, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
Terdahulu ribuan orang membanjiri sekitar dataran Harbour Mall di Sandakan pada Jumaat malam untuk menghadiri perhimpunan menuntut keadilan terhadap kematian Zara Qairina.
Orang ramai tiba seawal jam 7 malam untuk memberikan sokongan dengan membawa sepanduk dan kain rentang.
Anggota polis turut berada di sekitar kawasan tersebut untuk melakukan kawalan.
Difahamkan, himpunan serupa turut diadakan secara serentak di beberapa lokasi lain termasuk di Lahad Datu dan Tawau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
