MYDIN lancar 'Misi Meow Prihatin' bantu kucing terbiar

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan melawat sekitar pameran pada program 'Misi Meow Prihatin' sempena sambutan Hari Kucing Sedunia di MYDIN Subang Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan melawat sekitar pameran pada program 'Misi Meow Prihatin' sempena sambutan Hari Kucing Sedunia di MYDIN Subang Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
A
A
A

SUBANG JAYA – Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) melancarkan inisiatif ‘Misi Meow Prihatin’ bagi membantu kucing terbiar menerusi penyediaan bank makanan kucing di 27 cawangan pasar raya besarnya di seluruh negara.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) sempena sambutan Hari Kucing Sedunia.

“Program ini julung kali diadakan dan mencerminkan komitmen berterusan MYDIN untuk menyantuni bukan sahaja masyarakat tetapi juga haiwan yang menjadi sebahagian daripada komuniti kita.

“Penyediaan bank makanan kucing berkenaan membolehkan pelanggan menyumbang makanan kepada haiwan terbiar di pusat perlindungan melalui saluran yang mudah dan diyakini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Misi Meow Prihatin yang disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di MYDIN Subang Jaya di sini pada Khamis.

Baginda turut berkenan melancarkan rangkaian produk makanan dan kesihatan kucing keluaran MYDIN iaitu SmartCat dan SuperCat sebagai pilihan mampu milik buat pemilik haiwan peliharaan.

Menurut Ameer, penyediaan bank makanan kucing itu membolehkan pelanggan menyumbang makanan kepada haiwan terbiar di pusat perlindungan melalui saluran yang mudah dan diyakini.

“Setiap individu dan organisasi perlu ambil tanggungjawab menyayangi dan melindungi semua makhluk termasuk haiwan peliharaan seperti kucing,” ujarnya.

MYDIN juga menyalurkan sumbangan barangan makanan dan keperluan haiwan bernilai RM10,000 kepada PAWS sebagai tanda sokongan terhadap usaha menjaga kebajikan haiwan.

Artikel Berkaitan:

Pada program sama, pencinta kucing juga berpeluang membawa haiwan kesayangan mereka untuk pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh rakan strategik MYDIN.

Pengunjung juga boleh menghulurkan bantuan atau memberi penjagaan kepada kucing terbiar yang telah diselamatkan oleh PAWS dan kini menanti pemilik baru.

Dalam pada itu Ameer berkata, inisiatif tersebut menjadi platform memperkenalkan produk jenama sendiri MYDIN dalam segmen penjagaan haiwan peliharaan sekali gus meluaskan capaian pasaran sedia ada.

“MYDIN akan terus komited menyokong usaha kebajikan rakyat dan memperkasakan peranan sebagai rakan komuniti melalui pelbagai inisiatif prihatin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!