Anggota polis cedera ditikam kini stabil, dijangka pulih sepenuhnya dalam masa terdekat

Laporan Sinar Harian pada 31 Julai lalu. Foto kecil: Mohamed Usuf
Laporan Sinar Harian pada 31 Julai lalu. Foto kecil: Mohamed Usuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota polis yang cedera parah ditikam seorang lelaki di Pasar Pudu, Jalan Yew di sini dilaporkan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa pada Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, anggota berkenaan juga berkemungkinan akan dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh seminggu lagi.

“Setakat ini, anggota polis itu masih dalam pemantauan kerana bimbang kemungkinan berlaku pendarahan dalaman atau sebarang jangkitan, dia dijangka pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Luka itu bersaiz kira-kira tiga sentimeter lebar dan tujuh sentimeter dalam, dia bernasib baik kerana tikaman itu tidak mengenai organ penting dan hanya mengenai usus kecil," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Mohamed Usuf berkata, tugasan dilaksanakan anggota berkenaan ketika hari kejadian adalah mengikut standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan.

“Tidak ada isu berhubung SOP kerana anggota berkenaan memang ikut SOP termasuk sistem 'buddy' ketika rondaan dilakukan.

“Kita berharap anggota polis akan dibekalkan dengan kamera badan selepas ini memandangkan tidak semua anggota bertugas dibekalkan dengan peralatan ini,” jelasnya.

Katanya, kertas siasatan sudah lengkap dan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh terdekat.

Pada 31 Julai lalu, Anggota URB cedera pada bahagian perut akibat ditikam seorang lelaki berhampiran Pasar Pudu.

Artikel Berkaitan:

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari ketika anggota Balai Polis Pudu itu sedang melakukan tugasan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit.

Koperal Mohd Nadzri Sudiman, 35, yang mengalami kecederaan parah pada perut kini masih dirawat selepas menjalani pembedahan kecemasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!