Laluan Sungkai ke Slim River sesak hampir 7 kilometer nahas lori telur, simen

LLM memaklumkan, lorong kiri dan tengah di lokasi kejadian masih terhalang dengan trafik bergerak perlahan dan sesak sejauh 6.7 kilometer. - Gambar hiasan
LLM memaklumkan, lorong kiri dan tengah di lokasi kejadian masih terhalang dengan trafik bergerak perlahan dan sesak sejauh 6.7 kilometer. - Gambar hiasan
A
A
A

TANJUNG MALIM - Laluan di Kilometer 372.1 Lebuhraya Utara-Selatan dari Sungkai ke Slim River mengalami kesesakan teruk hampir 7 kilometer susulan satu kemalangan membabitkan dua lori di sini pada Isnin.

Kejadian dilaporkan jam 12 tengah hari melibatkan sebuah lori membawa telur ayam merempuh bahagian belakang treler muatan simen.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian menyebabkan dua mangsa parah manakala dua lagi mengalami kecederaan ringan.

"Setibanya jentera di lokasi, didapati sebuah lori membawa telur dinaiki empat orang iaitu seorang pemandu dan tiga kelindan telah melanggar belakang treler.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

"Setakat jam 1.30 petang, operasi menyelamat masih dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi akaun rasmi @llmtrafik memaklumkan, lorong kiri dan tengah di lokasi kejadian masih terhalang dengan trafik bergerak perlahan dan sesak sejauh 6.7 kilometer.

Makluman pada jam 1.30 petang itu turut menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dan memandu dengan berhati-hati ketika melalui lokasi kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!