Bidan pertaruh nyawa redah sungai deras selamatkan pesakit

Dona sanggup mempertaruhkan nyawa apabila jambatan penghubung yang sepatutnya dilalui roboh akibat dihanyutkan arus sungai. - Foto: Media sosial
Dona sanggup mempertaruhkan nyawa apabila jambatan penghubung yang sepatutnya dilalui roboh akibat dihanyutkan arus sungai. - Foto: Media sosial
A
A
A

SUMATERA BARAT – Aksi seorang bidan di Kabupaten Pasaman, Sumatera Barat tular di media sosial selepas videonya berenang meredah arus deras demi merawat pesakit mendapat perhatian ramai.

Bidan berkenaan dikenali sebagai Dona, sanggup mempertaruhkan nyawa apabila jambatan penghubung yang sepatutnya dilalui roboh akibat dihanyutkan arus sungai.

Walaupun tanpa persiapan khusus, Dona tetap meneruskan perjalanan untuk menyelamatkan pesakitnya di Jorong Sinuangon, Nagari Cubadak Barat, Kecamatan Dua Koto.

Kejadian berlaku pada Jumaat lalu setelah dia yang baru pulang dari latihan di Pekanbaru segera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan bantuan daripada keluarga pesakit.

Untuk sampai ke sana, dia menyewa ojek dengan bayaran Rp400 ribu (RM115) bagi perjalanan pergi dan balik.

Namun, dalam perjalanan dia dimaklumkan bahawa jambatan utama telah runtuh.

Tidak mahu mengecewakan keluarga pesakit, Dona nekad menyeberangi sungai sambil membawa beg berisi ubat-ubatan dan peralatan perubatan.

"Saya sangka masih boleh dilalui dengan berjalan kaki tetapi rupa-rupanya sudah roboh sepenuhnya.

"Saya tidak membawa sebarang peralatan khas hanya keberanian. Pesakit perlukan bantuan, jadi saya harus sampai," kata Dona.

Artikel Berkaitan:

Dona berkhidmat sebagai bidan sejak 1999 mendedahkan jarak perjalanan ke kampung itu adalah sejauh 27 kilometer (km) melalui jalan berbatu, berlumpur dan hutan.

"Sebelum sampai ke sungai, saya jatuh tiga kali dari motosikal kerana jalan yang berlumpur," katanya.

Video keberanian Dona yang dimuat naik oleh akaun Instagram @indozone.id telah ditonton lebih daripada 200,000 kali.

Netizen memuji tindakannya yang sanggup berkorban demi keselamatan pesakit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!