Tiga lelaki dicekup buang sisa pertanian

KUANTAN - Tiga lelaki termasuk dua warga asing dicekup ketika cuba membuang sisa pertanian di Hutan Simpan Sungai Terla, Cameron Highlands.
Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 39 tahun itu ditahan Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands pada Jumaat ketika menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang sarat dengan muatan sisa pertanian.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin berkata, kenderaan terbabit dikesan kira-kira jam 6.30 petang hasil rondaan di kawasan berisiko pencerobohan di hutan tersebut.
“Tujuan mereka memasuki Hutan Simpan Sungai Terla semata-mata untuk membuang sisa pertanian di kawasan curam tebing Sungai Terla, sedangkan mereka tidak dibenarkan berada dan melakukan sebarang aktiviti dalam hutan simpan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Zainuddin, susulan itu Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands menyita kenderaan yang digunakan dan tiga lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Brinchang bagi tindakan seterusnya.
Katanya, mereka yang terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 47 kerana memasuki hutan simpan tanpa kebenaran dan Seksyen 83 kerana membuang sampah di dalam hutan simpan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
Tambahnya, Hutan Simpan Sungai Terla menjadi antara kawasan panas aktiviti membuang sisa pertanian dan pelbagai jenis sampah.
“Justeru, rondaan dilakukan secara berjadual siang dan malam dengan harapan dapat memberkas pihak tidak bertanggungjawab.
“Hutan Simpan Sungai Terla dan Hutan Simpan Sungai Ichat, Cameron Highlands telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air daerah berkenaan, jadi sebarang aktiviti tidak dibenarkan dalam kawasan terbabit,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar bersama-sama memelihara kawasan hutan dan sungai bagi menjamin kelestarian alam serta mengelakkan risiko banjir akibat saliran tersekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

