Mayat lelaki dengan tangan, kaki terikat maut akibat dijerut - Polis

HULU SELANGOR - Mayat seorang lelaki yang ditemui dalam keadaan kaki serta tangan berikat berhampiran landasan kereta api di Kalumpang, Khamis lalu dipercayai maut akibat dijerut menggunakan tali.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, dapatan itu hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh pada Jumaat.
Justeru katanya, punca kematian adalah ligature strangulation.
"Bedah siasat dijalankan terhadap mangsa terdapat kesan jerutan pada leher dengan menggunakan tali.
"Kesan jerut disyaki sama dengan tali (seperti rantai) yang dipakai pada leher mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat lelaki dengan keadaan kaki dan tangan diikat ditemui berhampiran landasan kereta api di Kampung Sungai Serian, Kalumpang di sini pada Khamis.
Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 10.30 pagi.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dijumpai di tepi landasan kereta api yang dipercayai telah dicampak dari jambatan Kampung Sungai Serian yang berketinggian 11.15 meter.
Ujar beliau, siasatan pihak forensik mendapati mangsa telah diikat kaki dan tangan.
"Kepalanya telah dibalut dengan kain selain dilekatkan pita pelekat hitam dan putih.
"Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa tidak menjumpai sebarang dokumen diri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

