APM selamatkan lembu 200 kg jatuh perigi sedalam dua meter

PASIR MAS – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas berjaya menyelamatkan seekor lembu seberat kira-kira 200 kilogram yang terjatuh ke dalam sebuah perigi lama sedalam dua meter di Kampung Lati, di sini pada Rabu.
Pegawai APM Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 8.30 pagi yang memaklumkan kejadian tersebut.
“Setibanya di lokasi, APM mendapati seekor lembu berada di dalam perigi lama yang tidak ditutup dengan kedalaman kira-kira dua meter.

“Lembu tersebut dipercayai telah berada di dalam perigi itu hampir lima jam dan bertindak agresif akibat kelaparan serta ketakutan.
“Pemeriksaan awal dilakukan bagi memastikan tiada kecederaan serius dialami haiwan tersebut sebelum operasi menyelamat dijalankan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurut beliau, anggota APM kemudiannya menggunakan kaedah ikatan ‘tindih kasih’ selain mengalih ganti pintu sebagai platform untuk menaikkan lembu dari dasar perigi.
Ujarnya, operasi yang melibatkan empat anggota itu tamat sepenuhnya pada jam 9.55 pagi.
“Kes sebegini memerlukan pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan kepada haiwan serta memastikan keselamatan anggota sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


