Pelajar perlu diperkasa ilmu dan adab

PELAJAR merupakan golongan yang sedang dibentuk menjadi pemimpin masa depan.
Mereka bukan sahaja perlu diperkasa dengan ilmu tetapi lebih penting lagi diasuh dengan nilai moral dan akhlak yang baik.
Malangnya, senario semasa menunjukkan sebaliknya, banyak yang mengutamakan pencapaian akademi tetapi mengabaikan soal sahsiah.
Semakin banyak keluhan kedengaran dalam kalangan guru, ibu bapa dan masyarakat tentang perubahan sikap pelajar masa kini yang dikatakan semakin hilang nilai hormat, sopan santun dan rasa tanggungjawab terhadap orang di sekeliling mereka.
Baru-baru ini seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas didakwa menumbuk dan mengugut gurunya hanya kerana ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah menengah di daerah Kajang, Selangor.
Menerusi video berdurasi 39 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan berlaku pergelutan antara pelajar berkenaan dengan seorang guru lelaki sebelum remaja terbabit dilihat menumbuk muka individu tersebut.
Kemerosotan adab ini tidak berlaku secara tiba-tiba, ia berpunca daripada banyak faktor yang saling berkait
Namun begitu, semua ini bukan alasan untuk berputus asa tetapi perlu diperbaiki.
Pelajar perlu disedarkan adab adalah asas kepada kejayaan hidup, ilmu yang tinggi tanpa akhlak hanya akan membawa kerosakan.
Sebaliknya, jika seseorang itu beradab, dia akan lebih mudah diterima masyarakat, dihormati oleh rakan-rakan dan berjaya membina kehidupan yang seimbang.
Guru perlu diberi sokongan untuk mendidik dengan penuh hikmah dan ibu bapa perlu kembali memainkan peranan utama dalam membentuk sahsiah anak-anak sejak kecil.
Masyarakat pula harus menjadi contoh dan sumber nilai positif kepada golongan muda.
Kesimpulannya, zaman mungkin terus berubah tetapi nilai dan adab seharusnya kekal teguh.
Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya hebat di atas kertas peperiksaan namun gagal dalam membina hubungan kemanusiaan.
Sebuah negara maju bukan sahaja bergantung kepada kecerdasan intelek rakyatnya malah kekuatan akhlak dan nilai moral yang dipegang bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

