Misi Damai Malaysia: PAT pimpin delegasi ke Thailand, Kemboja

Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai misi ke Thailand dan Kemboja susulan kejayaan Malaysia dalam mendamaikan konflik sempadan
Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai misi ke Thailand dan Kemboja susulan kejayaan Malaysia dalam mendamaikan konflik sempadan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai delegasi khas ke Thailand dan Kemboja bagi menyampaikan komitmen Malaysia dalam membantu meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara berkenaan.

Misi tersebut adalah susulan kejayaan Mesyuarat Khas yang dianjurkan oleh Malaysia sehingga membawa kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, bermula jam 12 tengah malam pada 28 Julai lalu.

Thailand dan Kemboja turut menyatakan komitmen bersama untuk menghentikan segala bentuk permusuhan bagi membuka ruang kepada rundingan damai serantau yang lebih luas.

Bagaimanapun, beberapa insiden pertempuran kecil dilaporkan berlaku selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.

Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Komander Serantau kedua-dua negara telah mengadakan mesyuarat pada jam 10 pagi bagi membincangkan langkah-langkah selanjutnya.

“Hasil mesyuarat itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan gencatan senjata, tidak melakukan sebarang serangan terhadap orang awam, menghentikan penambahan kekuatan tentera, dan mengehadkan pergerakan ketenteraan di kawasan sempadan.

“Persetujuan turut dicapai bagi memudahkan proses pemulangan anggota yang tercedera dan terkorban,” katanya pada Selasa.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa satu pasukan penyelarasan akan ditubuhkan, terdiri daripada empat wakil daripada setiap negara bagi memantau pelaksanaan dan pematuhan terhadap gencatan senjata tersebut.

“Delegasi Malaysia dijangka meneruskan misi diplomatik ke Phnom Penh bagi mengadakan rundingan lanjut bersama rakan sejawat dari Kemboja, sebagai persediaan menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadual berlangsung pada 4 Ogos ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!