Hulk Hogan, ikon budaya pop

WASHINGTON -“Whatcha gonna do when Hulkamania runs wild on you?”
Tidak akan ada lagi kedengaran laungan ikonik ini setelah pemergian legenda gusti, Hulk Hogan pada usia 71 tahun di kediamannya di Florida pada Khamis lalu.
Beliau bukan sahaja mencipta nama dalam gelanggang malah memainkan peranan penting dalam menaikkan populariti sukan gusti profesional sepanjang lebih empat dekad dan menjadikan ia sebahagian daripada budaya pop global.
Kematian Hogan menandakan berakhirnya era Hulkamania yang pernah mendominasi dunia gusti dan hiburan pada era 1980-an dan 1990-an.
Nama Hogan mula melonjak apabila beliau menyertai World Wrestling Federation (WWF) pada awal 1980-an.
Pada tahun 1984, beliau memenangi Kejohanan Dunia WWF dengan menewaskan The Iron Sheik, sekali gus memulakan fenomena Hulkamania.
Imejnya yang berambut panjang dan bermisai tebal serta mengenakan pakaian berwarna merah dan kuning telah mempamerkan karisma luar biasa selain personaliti patriotik menjadikannya sebagai wira rakyat Amerika Syarikat (AS).
Antara slogan popular beliau ialah 'say your prayers, take your vitamins and believe in yourself'.
Fenomena Hulkamania telah mengangkat World Wrestling Entertainment (WWE) ke tahap komersial yang belum pernah dicapai sebelum ini. Hogan menjadi bintang utama dalam pelbagai acara utama seperti WrestleMania I, III dan VI yang mana perlawanan tersebut ditonton puluhan ribu penonton.
Selain mencipta nama di gelanggang, Hogan turut menjadi ahli gusti pertama yang terjun ke dalam dunia hiburan dengan kemunculan dalam pelbagai filem, program TV dan iklan.
Antara filem dan rancangan televisyen lakonannya termasuk No Holds Barred, Mr Nanny, Thunder in Paradise dan Suburban Commando.

Pencapaian luar biasa
Pemilik nama sebenar Terry Gene Bollea ini dilahirkan pada 11 Ogos 1953 di Augusta, Georgia sebelum keluarganya berpindah ke Tampa di Florida.
Sejak kecil, Hogan aktif dalam sukan dan muzik serta pernah bermain gitar bes dalam beberapa kumpulan muzik.
Pada mulanya, beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan besbol, namun cita-cita itu tidak dapat diteruskan kerana kecederaan yang dialaminya.
Ketika meningkat remaja, Hogan akhirnya memilih sukan gusti dan dilatih oleh ahli gusti terkenal di Jepun, Hiro Matsuda.
Beliau memulakan kerjaya profesionalnya pada akhir 1970-an di bawah pelbagai nama pentas termasuk Terry Boulder, Super Destroyer dan Sterling Golden.
Nama Hulk Hogan dipilih selepas dicadangkan dalam sebuah rancangan temu bual dan terus melekat hingga kini.
Beliau mencatatkan pencapaian yang luar biasa sepanjang lebih empat dekad dalam industri gusti termasuk juara enam kali WWF/WWE.
Pada pertengahan 1990-an, Hogan berpindah ke World Championship Wrestling (WCW) dan mencipta impak sekali lagi apabila mengubah wataknya kepada 'Hollywood Hulk Hogan', watak antagonis yang menyertai kumpulan New World Order (NWO).
Keputusan itu dianggap sebagai antara perubahan karakter paling berjaya dalam sejarah gusti dan menyumbang besar kepada kebangkitan WCW dalam era Monday Night War menentang WWF.
Terpalit kontroversi
Sepanjang kariernya, Hogan juga berdepan pelbagai kontroversi termasuk isu undang-undang, perceraian dan kes rakaman audio berunsur perkauman yang tular pada 2015 hingga menyebabkannya digantung WWE.
Namun, selepas memohon maaf secara terbuka, beliau diterima semula pada 2018 dan namanya dipulihkan dalam WWE Hall of Fame.
Hogan pernah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan dua cahaya mata dan salah seorang daripadanya, Brooke Hogan turut dikenali dalam bidang hiburan.
Beliau akan terus dikenang bukan hanya kerana kehebatannya di gelanggang malah kerana sumbangannya membawa sukan gusti sebagai produk hiburan global yang membuka jalan kepada generasi baharu termasuk The Rock dan John Cena.

Sehingga ke akhir hayatnya, nama Hogan kekal sinonim dengan era kegemilangan gusti dan sering diberi penghormatan untuk tampil dalam acara khas WWE meskipun sudah bersara daripada aksi fizikal.
Legasi beliau yang menjadi lambang semangat juang di dalam dan luar gelanggang gusti akan terus hidup dalam sejarah sukan hiburan tersebut buat selama-lamanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

