KPDN, MOF perluas akses SARA di PJRM bergerak, permudah rakyat pedalaman

Armizan ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia Siri Dua Tahun 2025 di Kompleks Sukan Ranau.
Armizan ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia Siri Dua Tahun 2025 di Kompleks Sukan Ranau.
A
A
A

RANAU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memperluaskan akses penggunaan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan keperluan asas di Program Jualan Rahmah (PJRM) bergerak.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif kerajaan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat melalui tambahan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA sebanyak RM2 bilion menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM15 bilion bagi tahun ini.

"Pada masa ini, penerima SARA boleh membeli barangan keperluan asas di 4,152 premis pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara termasuk 470 premis di negeri Sabah.

"Selain pembelian di premis-premis tetap sedia ada, KPDN mencadangkan agar bantuan SARA juga boleh diguna pakai untuk pembelian di PJRM bergerak kelak," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia Siri Dua Tahun 2025 di Kompleks Sukan Ranau, pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, cadangan itu bertujuan memperluaskan manfaat kepada penerima bantuan terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Ertinya, rakyat akan mendapat manfaat yang lebih, pertama mereka mendapat bantuan melalui MyKad itu, contohnya RM200 dan bila mana mereka membeli di program PJRM bergerak, mereka boleh mendapat satu lagi manfaat iaitu barangan dengan harga diskaun.

"Jadi ini yang tengah kita usahakan dengan MOF, kita berharap kita dapat menggerakkan usaha ini pada kadar segera," katanya.

Tambah Armizan lagi, pelaksanaan itu kelak membolehkan pembelian dibuat menggunakan MyKad semasa PJRM bergerak ke kawasan kampung atau pedalaman, tanpa perlu rakyat menanggung kos pengangkutan ke premis-premis tetap.

"Sebab kita tahu masyarakat kita di luar bandar dan pedalaman ini kadang-kadang mereka terpaksa membelanjakan kos pengangkutan sebab jauh.

Artikel Berkaitan:

"Jadi lebih baik untuk mereka pergi ke satu premis, bila kita adakan PJRM bergerak. PJRM akan datang ke lokasi, ke kampung mereka dan mereka boleh membuat pembelian melalui MyKad di PJRM bergerak ini," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan memperluaskan jenis barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan SARA, Armizan berkata, perkara itu sedang dikaji MOF berdasarkan data pembelian sedia ada.

"Ketika ini ada 14 kategori termasuk ubat-ubatan. Saya fikir kerajaan terbuka sekiranya ada lagi respons daripada rakyat bahawa ada jenis barang tertentu wajar untuk dimasukkan," katanya.

Untuk rekod, sehingga Julai 2025, bagi negeri Sabah sahaja, sebanyak RM410 juta telah disalurkan kepada 830,000 penerima STR, manakala RM500 juta disalurkan kepada 506,000 penerima SARA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!