Cabar keberanian, atasi rasa takut di Maze Gergasi

Peserta diberi masa maksimum 7 minit untuk menyelesaikan tugasan dalam Maze Gergasi di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.
Peserta diberi masa maksimum 7 minit untuk menyelesaikan tugasan dalam Maze Gergasi di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Bayangkan diri anda terperangkap dalam laluan gelap, hanya bertemankan cahaya samar dan bisikan misteri. Jalan keluar tidak kelihatan, namun masa terus berdetik.

Itulah cabaran yang menanti dalam Maze Gergasi, tarikan terbaharu dan mendebarkan di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.

Permainan interaktif berbentuk laluan sesat (maze) ini direka khas untuk mencabar keberanian pengunjung serta menguji kecekapan mereka mencari jalan keluar dalam suasana yang mencemaskan.

Pengarah Kreatif Kanan Sinar Karangkraf, Norazlan Ismail berkata, permainan tersebut merupakan aktiviti pertama seumpamanya dianjurkan oleh Karangkraf.

“Karnival Siang Malam tahun ini kita cuba cipta pengalaman baharu yang menyeronokkan, terutama kepada pengunjung dari semua peringkat umur.

“Permainan ini membantu mereka mengatasi rasa takut dan belajar untuk ‘survive’ sama ada secara individu atau berkumpulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara pengunjung kanak-kanak yang menyertai permainan Maze Gergasi.
Antara pengunjung kanak-kanak yang menyertai permainan Maze Gergasi.

Menurut Norazlan, pemain diberi masa maksimum sehingga tujuh minit untuk mencari jalan keluar dari maze yang gelap dengan hanya berbekalkan lampu malap sebagai panduan.

Artikel Berkaitan:

Menambah cabaran, beliau berkata, pemain juga perlu menyelesaikan beberapa tugasan mendebarkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Setiap kumpulan akan diberikan bendera bernombor bagi memudahkan pemantauan, dan kemasukan ke maze akan diatur mengikut giliran secara selang-seli bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan keselamatan semua pemain.

“Sekiranya terdapat peserta yang belum keluar mengikut masa yang ditetapkan, petugas akan masuk untuk membantu mereka keluar.

“Sistem bendera ini penting bagi membolehkan kami mengesan siapa yang masih berada di dalam maze,” jelasnya.

Maze Gergasi dibuka bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam dengan tiket masuk hanya RM5, yang boleh dibeli di kaunter pendaftaran sepanjang karnival berlangsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!