Kes tembak wanita hamil: Keluarga luah rasa syukur suspek ditahan selepas tiga tahun

PASIR MAS - Keluarga kepada wanita hamil tujuh bulan yang maut ditembak di bahagian perut dalam kejadian pada tiga tahun lepas di Kampung Teresek, Repek di sini meluahkan rasa syukur selepas suspek kes terbabit ditahan pada Rabu.
Nenek mangsa, Zawiyah Sulong, 71, berkata, akhirnya ada berita gembira diterima selepas pemergian Farrah Emirah Mazlan yang pada ketika itu berusia 26 tahun, juga seorang ibu tunggal.
"Kami sentiasa berdoa agar nasib cucu terbela dan akhirnya polis berjaya menahan suspek.
"Diharap pesalah akan menerima hukuman setimpal," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Kini katanya, tanggungjawab menjaga ketiga-tiga anak arwah yang berusia antara 6 hingga 13 tahun telah diambil selepas kematian ibu mereka.
Sinar Harian pada 5 Jun 2022 melaporkan seorang wanita hamil tujuh bulan maut apabila ditembak di bahagian perut dalam kejadian di Kampung Teresek, Repek.
Mangsa, Farrah Emirah yang merupakan seorang peniaga ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dan mempunyai kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri.
Mayatnya ditemui dalam sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang di parkir di tepi jalan.
Hasil pemeriksaan polis ke atas kereta tersebut telah menjumpai satu kelongsong peluru di bahagian kaki tempat duduk penumpang di belakang sebelah pemandu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

