TPR arah lengkapkan siasatan kes doktor cabul pesakit - Polis

GEORGE TOWN- Polis telah menerima arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk melengkapkan siasatan terhadap seorang doktor yang didakwa beberapa kali mencabul pesakit wanitanya.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tiga daripada kes berkenaan dilaporkan di daerah Timur Laut manakala kes terbaharu berlaku di daerah Barat Daya.
Menurutnya, bagi tiga kes yang dilaporkan di daerah Timur Laut, kertas siasatan telah dikemukakan kepada pejabat TPR.
“Kita juga baru sahaja menerima arahan daripada pihak TPR untuk melengkapkan lagi siasatan bagi kes berkenaan dan kita sedang melaksanakannya sekarang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Mohd Alwi berkata, bagi kes di daerah Barat Daya pula siasatan masih dijalankan.
Mengulas lanjut, beliau berkata insiden terbaharu itu berlaku di sebuah klinik swasta di daerah berkenaan yang mana doktor tersebut bertugas secara lokum.
Difahamkan doktor itu sebelum ini bertugas di sebuah hospital kerajaan di daerah Timur Laut sebelum dipindahkan ke sebuah klinik kerajaan di daerah Barat Daya.
Pada Selasa lalu, dilaporkan seorang doktor yang sebelum ini pernah ditahan tiga kali kerana didakwa mencabul pesakit wanita, sekali lagi ditahan kerana kes serupa di sebuah klinik swasta di Bayan Baru.
Doktor berusia 43 tahun itu ditahan dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada jam 8 malam Isnin lalu selepas diminta hadir bagi membantu siasatan.
Polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa pada jam 11.46 pagi, 29 Jun lalu dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bayan Baru kerana mengalami sakit perut.
Semasa berada di dalam bilik pemeriksaan, doktor berkenaan mengarahkan mangsa menanggalkan bajunya dan kemudian menyentuh bahagian dadanya.
Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

