Fauziah Ahmad Daud tegas bab kualiti

Seniwati tersohor, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy, 63, diumumkan sebagai Pengetua bagi program realiti terbaharu, Asian Pop Stars 2025 yang bakal menghimpunkan peserta berbakat dari seluruh Asia.
Berpengalaman lebih lima dekad dalam industri seni tanah air, Fauziah bertekad mencurahkan segala ilmu yang dimiliki demi melahirkan bintang bertaraf Asia.
“Saya tidak fikirkan siapa yang anjurkan program ini, tetapi saya lihat pada hala tuju rancangan ini. Soalnya, apa yang mahu dijual? Terlalu banyak rancangan realiti kini bersifat acuan dan berulang. Saya tidak mahu perkara yang sama lagi.
“Saya mahu sesuatu yang baharu. Saya sendiri sudah 50 tahun dalam industri, orang pun bosan tengok saya. Tetapi saya ada ilmu dan pengalaman yang boleh membantu generasi baharu.
"Jadi, kepada siapa saya harus wariskan ilmu dan pengalaman lima dekad ini kerana anak saya tidak berminat,” katanya pada majlis pelancaran Asian Pop Stars 2025 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) baru-baru ini.
Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Tambah bintang utama Azura itu, kualiti akan menjadi keutamaan sepanjang program berlangsung.
“Saya tidak peduli kalau seseorang itu ada rupa, tetapi kalau tiada kualiti, saya tidak akan berkompromi. Ini bukan sekadar pertandingan.
“Saya tegas kerana saya sendiri dibentuk oleh guru-guru yang tegas. Biarlah orang kata saya begitu begini, tetapi saya ada tanggungjawab untuk menaikkan program ini melalui ilmu.
"Oleh itu, saya memilih tenaga pengajar yang saya tahu komited dan faham erti profesionalisme,” jelasnya sambil mengumumkan Isabella Soliano sebagai guru vokal dan Azmi Z Abdden sebagai koreografer utama program.
Sementara itu, Asian Pop Stars akan disiarkan secara langsung selama lima minggu bermula 29 November 2025, setiap Sabtu jam 9 malam di saluran RTM.
Program yang diterbitkan oleh Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM) itu akan menampilkan 20 peserta dari seluruh Asia yang bakal menjalani latihan intensif dan persembahan mingguan tanpa penyingkiran selama tiga minggu pertama.
Pada minggu keempat, seramai 12 peserta akan tersingkir, manakala lapan finalis akan berentap dalam Konsert Akhir pada 3 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Pengerusi PGDM, Datin Seri Dr Harnie Mohamed, semua lapan finalis akan menerima biasiswa khas untuk menjalani pengajian seni persembahan selama sebulan di ASWARA dan dua bulan di Korea Selatan.
“Mereka juga akan menyertai penjelajahan sembilan hari Cuti-Cuti Malaysia melibatkan sembilan negeri, sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai AS$20,000, piala pusingan dan sijil pengiktirafan.
Maklumat lanjut mengenai program boleh didapati menerusi platform media sosial @asian.pop.stars dan laman rasmi https://asianpopstars.asia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

