X

Kindly register in order to view this article
!

Ezam umum mahu kembali sertai PKR

Mohamad Ezam dalam ceramah semalam mengumumkan untuk menyertai semula PKR selepas keluar parti pada tahun 2008.
A
A

TAPAH - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor bersedia untuk kembali menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan sendiri dalam ceramah Siri Jelajah Reformasi di Kampung Perak, Temoh Stesen, di sini.

Menurut Mohamad Ezam, keputusan untuk kembali ke pangkuan PKR dibuat selepas mendapat permintaan daripada akar umbi yang mahukan beliau membantu parti.

"Saya masuk bukan dalam keadaan ada kilauan emas, ada permaidani merah di Putrajaya atau ada kawan-kawan menteri yang nak tawarkan sesuatu kepada saya. Saya masuk dalam keadaan PKR dikhianati, dibelot keadaan paling teruk.

"Saya mahu bersusah payah untuk angkat perjuangan parti. Saya bersedia pada bila-bila masa bersama parti," katanya dalam ceramah yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live itu.

Mohamad Ezam berkata, sukar untuk menolak kemahuan akar umbi yang memintanya kembali menyertai PKR.

Katanya, tindakan keluar daripada parti itu sebelum ini bukan disebabkan bergaduh dengan ahli parti tetapi masalah yang dihadapi dengan pemimpin PKR seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamad Ezam dalam pada itu menjelaskan tarikh semalam merupakan sesuatu yang sangat signifikan buatnya kerana pada 15 Mac 1999 beliau bertemu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara untuk menubuhkan parti itu.

Sementara itu, beliau melontarkan kritikan terbuka terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mahu terus bergantung kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya minta pimpinan PH kena bangkit dan tegas sebagai pakatan yang ada maruah. Saya terbuka PH boleh bekerjasama dengan Dr Mahathir tetapi kali ini bukan dia pimpin kita tapi kita pimpin dia. Kita dah angkat dia jadi perdana menteri sampai kali kedua.

"Kita minta Dr Mahathir untuk kesekian kalinya sokong Anwar sebagai perdana menteri. Kenapa kita kena bergayut lagi dengan Dr Mahathir. Kalau masih tidak ada ketegasan, saya bimbang pejuang-pejuang reformasi dan rakyat tidak mempunyai kekuatan menyokong," katanya.

Mohamad Ezam berkata, selama 22 bulan teguran dibuat terhadap PH tetapi diambil sambil lewa sehingga kerajaan runtuh.

Pada tahun 2008, Mohamad Ezam keluar daripada PKR menyertai UMNO selepas tidak lagi sefahaman dengan Anwar dan Mohamed Azmin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus