Nyaris kemalangan leher tersangkut tali layang-layang di MRR2

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal nyaris terlibat dalam kemalangan apabila lehernya tersangkut tali layang-layang yang melintang di tengah jalan dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Taman Tasik Metropolitan di sini pada Ahad.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa berusia 27 tahun menunggang motosikal di lorong tengah dari arah Batu Caves menghala ke Sri Damansara sebelum terkena tali berkenaan yang tidak disedarinya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa tidak menyedari kehadiran tali layang-layang yang merentang di laluan tersebut sebelum terkena pada bahagian badan dan lehernya.
"Tali tersebut dipercayai tersangkut pada badan mangsa dan leher mangsa sebelum terputus.
"Mangsa kemudiannya berhenti di tepi jalan sebelum mendapati lehernya mengalami kecederaan akibat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa bagaimanapun tidak terjatuh daripada motosikal ketika kejadian sebelum mendapatkan rawatan di sebuah poliklinik di Selayang.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987
"Orang ramai diingatkan tidak menerbangkan layang-layang berhampiran lebuh raya atau jalan utama kerana perbuatan itu boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya," katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki cedera di bahagian leher setelah terkena tali layang-layang ketika menunggang motosikal di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

