Warga emas rugi RM158,000 selepas panik didakwa terlibat kes wang haram RM2 juta

Mangsa telah membuat transaksi ke 12 akaun berbeza sebelum berasa dirinya ditipu.
Mangsa telah membuat transaksi ke 12 akaun berbeza sebelum berasa dirinya ditipu.
A
A
A

IPOH – Panik selepas didakwa terlibat dalam kes pengubahan wang haram, seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM158,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai wakil pihak insurans dan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 73 tahun pada awalnya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa wakil pihak insurans.

Menurut beliau, mangsa dimaklumkan bahawa terdapat tunggakan bayaran sebelum panggilan itu disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Mangsa diberitahu kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram bernilai RM2 juta dan waran tangkap telah dikeluarkan.

“Dalam keadaan panik, mangsa telah diugut dan diarahkan untuk membuat pelbagai transaksi ke beberapa akaun bank kononnya bagi tujuan jaminan diri dan siasatan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Abang Zainal Abidin berkata, mangsa kemudiannya membuat transaksi ke 12 akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM158,000.

“Mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis pada Ahad.

“Polis kini sedang mengesan pemilik akaun serta suspek terlibat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!