Merdeka Batik Fun Walk 2025 tarik peserta antarabangsa

KOTA BHARU – Merdeka Batik Fun Walk 2025 bakal dimeriahkan oleh lebih 200 peserta antarabangsa dalam usaha memperkenalkan semula keunikan batik Malaysia di peringkat global.
Pengerusi Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, acara yang akan berlangsung pada 31 Ogos itu bertujuan mengangkat batik Kelantan sebagai warisan budaya negara.
Menurut beliau, perarakan santai sejauh dua kilometer itu mewajibkan peserta mengenakan pakaian atau hiasan bertemakan batik Malaysia sambil mengibarkan bendera kebangsaan.
“Kita menyasarkan lebih 2,000 penyertaan daripada pelbagai kaum, termasuk penyertaan dari beberapa negara seperti Singapura, Thailand dan Uzbekistan yang telah menyatakan persetujuan untuk turut serta,” katanya pada sidang akhbar Merdeka Batik Fun Walk 2025, Sabtu lalu.
Nik Izani turut memaklumkan bahawa beberapa juri profesional akan menilai kreativiti hiasan dan penggunaan batik peserta di mana pemenang akan menerima hadiah menarik.
“Melalui acara yang dijangka mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records dan peserta juga berpeluang memenangi cabutan bertuah termasuk hadiah utama sebuah skuter bernilai kira-kira RM25,000,” ujarnya.
Beliau berharap acara itu dapat memperkasakan industri pelancongan negeri, memupuk semangat patriotisme, mengukuhkan perpaduan nasional serta memberi peluang kepada rakyat untuk meraikan Hari Kemerdekaan secara lebih sihat dan meriah.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai Merdeka Batik Fun Walk 2025 boleh mendaftar melalui pautan: https://forms.gle/nShjpmg6FP3wtTeH8.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
