Anak sulung Susilo dilantik pengerusi Parti Demokrat Indonesia

Agus Harimurti Yudhoyono. - Foto Agensi
Agus Harimurti Yudhoyono. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Anak sulung bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini dipilih sebagai pengerusi baharu Parti Demokrat sekali gus mengikuti jejak bapanya.

Keputusan itu dibuat selepas sesi pleno yang diadakan semasa kongres kebangsaan kelima di Jakarta yang mengesahkan bahawa Agus Harimurti Yudhoyono layak menjadi pengerusi baharu parti terbabit.

"Betul, beliau dilantik dengan sebulat suara," kata anggota eksekutif Parti Demokrat, Ferdinand Hutahaean seperti dipetik kompas.com.

Semasa pendaftaran pencalonannya, Agus telah menerima 93 peratus undi daripada lembaga eksekutif parti (DPP) dan cabang lembaga eksekutif (DPC).

Agus merupakan ahli politik kelima yang memegang jawatan itu selepas Subur Budhisantoso menerajui parti dari 2001 hingga 2005, Hadi Utomo (2005-2010), Anas Urbaningrum (2010-2013) dan Susilo Bambang Yudhoyono (2013-2020).

Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan pengerusi parti sejak Oktober 2019 selepas tugasnya sebagai Ketua Komander Tugas Bersama berakhir berikutan pemilihan umum pada tahun sama.

Ramai pemerhati turut mengatakan bahawa Agus mungkin akan bertanding untuk jawatan Presiden pada 2024. - Agensi

Artikel Berkaitan: