Veteran UMNO gesa bahagian bawa usul Najib

JOHOR BAHRU - Veteran UMNO Johor menggesa semua UMNO bahagian yang masih belum bersidang supaya membawa usul mendesak pelaksanaan segera tahanan dalam rumah terhadap bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak.
Naib Pengerusinya, Datuk Adam Abdul Hamid berkata, gesaan itu adalah tanda solidariti terhadap pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan parti.
"Saya percaya bahawa layanan yang adil, berperikemanusiaan dan mengikut ruang undang-undang wajar diberikan kepada beliau.
"Veteran UMNO Johor berdiri teguh di belakang usaha mempertahankan maruah dan hak Datuk Seri Najib Razak serta menyeru semua peringkat kepimpinan dan akar umbi agar menyuarakan pendirian ini secara jelas dan teratur melalui platform persidangan bahagian masing-masing," ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sedia mengadakan perbincangan dan memberi penjelasan kepada pimpinan UMNO berhubung Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau tidak boleh mendahului mahkamah kerana perkara mengenai Titah Adendum sudah dirujuk kepada badan kehakiman terbabit.
Sebelum itu, seramai 145 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara dilaporkan mendesak Perdana Menteri mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan Titah Adendum bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Mereka dilaporkan menegaskan bahawa ia sebagaimana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, sekali gus tiada lagi alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaannya.
Pada 9 Julai lalu, media melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

