3 pegawai maut dalam letupan di pusat latihan LASD

Tiga pegawai Jabatan Sheriff Los Angeles (LASD) maut dalam satu letupan yang berlaku di pusat latihan penguatkuasaan undang-undang di East Los Angeles, awal pagi Jumaat.
Tiga pegawai Jabatan Sheriff Los Angeles (LASD) maut dalam satu letupan yang berlaku di pusat latihan penguatkuasaan undang-undang di East Los Angeles, awal pagi Jumaat.
A
A
A

LOS ANGELES – Tiga pegawai Jabatan Sheriff Los Angeles (LASD) maut dalam satu letupan yang berlaku di pusat latihan penguatkuasaan undang-undang di East Los Angeles, awal pagi Jumaat.

Letupan itu berlaku kira-kira jam 7.30 pagi waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) di fasiliti Biscailuz Center Academy Training.

Pusat latihan berkenaan menempatkan Biro Penguatkuasaan Khas dan Unit Bahan Letupan dan Bakar LASD, termasuk skuad bom.

Menurut Sheriff LASD, Robert Luna, insiden berkenaan disifatkan sebagai satu kejadian terpencil.

Beliau berkata, tiada pegawai lain dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.

Tiga pegawai yang maut adalah anggota unit bahan letupan dan bakar Jabatan Sheriff.

Mereka merupakan anggota berpengalaman yang telah berkhidmat antara 19 hingga 33 tahun.

“Kami kehilangan tiga pakar yang sangat hebat,” kata Luna dalam sidang media.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati letupan berlaku di kawasan tempat letak kenderaan fasiliti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Ini merupakan kehilangan nyawa terbesar dalam satu insiden sejak LASD ditubuhkan pada tahun 1857,” katanya.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan nama ketiga-tiga pegawai terbabit.

Ia bagi memberi ruang kepada pihak keluarga untuk dimaklumkan terlebih dahulu.

FBI serta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF) telah digerakkan untuk membantu siasatan.

Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar letupan.

Media tempatan melaporkan pegawai terbabit dipercayai sedang mengendalikan bahan letupan yang belum meletup.

Bahan tersebut difahamkan dikutip daripada satu panggilan pelupusan bom baru-baru ini.

Skuad bom Jabatan Sheriff sering menjalankan operasi pengumpulan bahan letupan di seluruh wilayah.

Namun, setiap operasi itu sentiasa berdepan risiko tinggi kerana kestabilan bahan sukar ditentukan.

Menurut sumber polis, objek terbabit berkemungkinan telah berusia dan sangat tidak stabil.

Letupan dipercayai berlaku ketika bahan itu sedang diperiksa atau dipindahkan.

Susulan insiden, kawasan sekitar fasiliti tersebut telah dikosongkan dan ditutup sepenuhnya.

Langkah itu diambil bagi membolehkan proses forensik dan siasatan dijalankan dengan teliti.

Peguam Negara AS, Pam Bondi menyifatkan kejadian itu sebagai mengerikan.

Menurutnya, ejen persekutuan telah dihantar ke lokasi dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

Gabenor California, Gavin Newsom turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Pejabat beliau memaklumkan bahawa bantuan kerajaan negeri telah ditawarkan bagi membantu siasatan.

Ketua Lembaga Penyelia Daerah Los Angeles, Kathryn Barger turut mengeluarkan kenyataan susulan tragedi tersebut.

“Hati saya cukup berat dan saya bersama-sama dengan seluruh anggota LASD dalam saat sukar ini,” katanya.

Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa maklumat lanjut akan dimaklumkan sebaik siasatan selesai.-BBC

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!